Dec 2, 2014

WANITA UNGGULI PIALA MALAYSIA FANTASI 2014 SEKALIGUS MEMENANGI HADIAH UTAMA RM8,000!

PIALA MALAYSIA FANTASI 2014 yang telah bermula pada 13 Ogos  sehingga 8 November 2014 lalu, kini telah menemui pemenangnya pada musim ini.

Kemenangan yang tidak disangka ini telah dimenangi oleh seorang peminat bola sepak wanita, Ismawati Ilias dengan membawa pulang wang tunai RM 8,000. Beliau telah diwakili oleh suaminya, Azahar Bin Assaari ketika sesi penyerahan replika cek di program Grandstand Ahad baru-baru ini.



Ismawati berkongsi minat yang mendalam bersama suaminya terhadap sukan bola sepak dan  sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak tempatan terutama pasukan bola sepak kelahirannya iaitu Pulau Pinang. Ini juga merupakan penyertaan pertama Ismawati dalam pertandingan ini dan suaminya merupakan tulang belakang dalam menguruskan pasukan fantasinya yang bernama  Juah Gila dengan memungut 483 mata.


Azman Fahmi Osman, Penolong Naib Presiden Penjanaan Pendapatan Astro Arena bekata “Ternyata bola sepak adalah sukan universal yang diminati oleh semua peringkat golongan dan kemenangan Ismawati Ilias membuktikan golongan wanita juga mempunyai pengetahuan di dalam bidang sukan yang didominasi oleh kaum lelaki. Bukan itu sahaja, malahan sukan bola sepak tempatan juga turut diikuti oleh semua masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan ini dapat dilihat melalui kemenangan oleh Tan Hoo Fatt yang berjaya merangkul hadiah utama Liga Super Fantasi 2014 baru-baru ini.

Jika dilihatkan begitu banyak inisiatif yang diambil bagi memeriahkan lagi industri bola sepak Malaysia dan penganjuran permainan atas talian seperti ini juga adalah usaha Astro Arena dalam menyokong inisiatif dan membuka peluang untuk penglibatan orang ramai dalam liga bola sepak tanah air. Melalui permainan seperti ini, peminat berpeluang menguji kemampuan sendiri dengan menguruskan pemain-pemain terbaik dan membentuk menjadi sebuah pasukan impian yang hebat.  Saya mewakili pihak Astro Arena ingin mengucapkan tahniah buat para pemenang dan diharapkan agar para pencinta sukan tanah air akan terus memberikan sokongan kepada Astro Arena dan industri sukan Malaysia keseluruhannya”.

Piala Malaysia Fantasi 2014 adalah sebuah permainan pengurusan pasukan bola sepak di mana pemain akan dibekalkan dengan modal sebanyak 100 juta dan dikehendaki untuk menciptakan pasukan fantasi masing-masing. Mereka dibenarkan untuk membeli seramai 11 orang pemain bola sepak di mana setiap pemain bola sepak yang dipilih berkemungkinan akan menyumbang mata mengikut jadual mata yang disediakan. Pemain juga hanya dibenarkan memilih maksimum hanya tiga pemain bola sepak yang beraksi dalam pasukan yang sama.

Adunan pemain telah diuji dan hanya percaturan yang mantap akan melayakkan pemain meraih mata tertinggi. Selain pemenang utama, terdapat juga pemenang peringkat kumpulan yang dimenangi oleh Mohd Zaimie Zainudin. Beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 2,000.


Sementara itu, pemenang bagi peringkat kalah mati pula dimenangi oleh pasukan ‘Next’ dengan email pendaftaran sayurtaugeh7@yahoo.com telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.


0 comments:

Post a Comment

What do you think of my blog???