Penyanyi remaja sensasi Indonesia, Farel Prayoga, 15, mencuri perhatian dengan melancarkan single terbaharunya berjudul Lemak Manis, sekali gus menandakan kemunculan rasmi beliau pada tahun 2025 dengan imej dan gaya muzik yang lebih matang.
Rakaman semula Lemak Manis merupakan hasil kerjasama pertama antara Malaysia dan Indonesia yang dibawakan secara eksklusif oleh Indigital Music.
Selaku penerbit, Indigital Music tertarik untuk memperkenalkan Farel ke pasaran lebih luas kerana percaya bakat yang ada dalam dirinya selain mempunyai potensi menjadi 'bintang' serantau masa hadapan.
Kolaborasi ini turut dilihat sebagai langkah strategik merentasi dua negara, memandangkan Farel sudah mempunyai sejumlah peminat yang besar di Indonesia dan bakal menambat hati peminat di Malaysia.
Ciri khas dan lenggok yang semula jadi yang ada padanya membuatkan Lemak Manis nyanyian semula Farel lebih 'kena' dengan melodi Melayu-pop.
Transisi ini merupakan peralihan penting selepas Farel dikenali sebagai penyanyi lagu berbahasa Jawa, termasuk beberapa karya yang pernah viral sebelum ini.
"Saya bersyukur kerana Lemak Manis menarik perhatian pendengar sejak dilancarkan beberapa bulan yang lalu. Peminat juga memberikan maklum balas yang baik dengan versi kali ini.
"Sebenarnya untuk merakamkan lagu ini bukan mudah dan ada banyak cabaran tersendiri. Saya sendiri bersyukur kerana mendapat bantuan daripada pelbagai pihak sejak proses rakaman berlangsung," katanya.
Mengakui cukup mengagumi cara nyanyian Roslan Madun yang merupakan penyanyi dan pencipta lagu Lemak Manis, Farel mahu peminat di sini menerima versi orkestra yang dibawakan kali ini.
Menyorot kembali perjalanan seni remaja ini, Farel sebenarnya bermula sebagal penyanyii jalanan dan video covernya seperti "Tiara" dan "Satu Mimpi" tular di pelbagai platform digital seterusnya melonjakkan namanya seawal usia kecil.
Nama Farel memuncak pada tahun 2022 apabila persembahannya membawakan lagu "Ojo Dibandingke", lagu berbahasa Jawa di hadapan Presiden Indonesia, Jokowi sempena sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia mendapat liputan meluas.
Video tersebut bukan sahaja mendapat jutaan tontonan tetapi juga trending di seluruh dunia seterusnya membawa nama Farel untuk dikenali dengan lebih meluas.
"Itu merupakan antara kenangan paling manis dalam hidup saya. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan Presiden Indonesia sendiri yang mahu melihat persembahan saya.
"Saya anggap ini rezeki yang baik dan tuah dalam memulakan perjalanan kerjaya seni. Harapnya Lemak Manis turut akan membawa tuah saya di Malaysia," kata Farel lagi.
Sejak itu, Farel terus menjadi ikon kecil Indonesia yang mendapat sokongan merentasi pelbagai generasi daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.
Bagi Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohamad Rom, menganggap sambutan awal terhadap "Lemak Manis" sangat positif, didorong oleh peminat setia yang mengikuti perkembangan Farel sejak awal termasuk golongan keluarga, remaja serta peminat muzik serantau.
"Kita yakin kepada bakat dan potensi besar yang ada pada Farel. Dia masih muda dan boleh meneroka banyak perkara dan kami berbesar hati untuk bersama-samanya memulakan langkah di Malaysia.
"Kerjasama ini bukan yang pertama dan terakhir memandangkan kita sudah merancang beberapa lagu lain seterusnya membuka jalan untuk Farel melebarkan pengaruh di Malaysia," tambahnya.
Lemak Manis nyanyian Farel sudah dilancarkan secara rasmi pada 2 Oktober lalu disemua platform digital. Video muzik pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.
No comments:
Post a Comment
What do you think of my blog???