Aug 21, 2022

Filem Anak Rimau sarat mesej positif



Sarat mesej positif, filem Anak Rimau The Movie mampu memberi inspirasi kepada ibu bapa menggilap bakat serta potensi golongan anak muda dalam dunia sukan bola sepak.

Bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd mengangkat semangat dan perjuangan generasi baru dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy, filem yang menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady. 

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Penerbitnya, Fadzil Manap berkata, filem Anak Rimau The Movie mengetengahkan nilai positif membabitkan semangat berpasukan, kegigihan dan sikap tidak berputus asa dalam kalangan generasi muda untuk berjuang mencapai cita-cita.

“Banyak mesej penting yang mahu disampaikan dalam filem ini. Ia juga mengetengahkan elemen perpaduan, semangat nasionalisme, patriotik dan kepelbagaian kaum, sekali gus sesuai untuk tontonan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Namun, kongsinya, bukan mudah menghasilkan filem menampilkan barisan pelakon muda yang tiada asas dalam bidang lakonan.

“Justeru, Keeklr Films mendapatkan khidmat guru lakonan, Fatimah Abu Bakar yang banyak membantu dari aspek emosi, penghayatan watak, menghafal dialog dan sebagainya.

“Selain itu, jurulatih AMD, Osmera Omaro turut menjadi penasihat kepada pelakon muda di lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi lakonan ditampilkan barisan pemain bola sepak muda AMD termasuk aspek komitmen dan disiplin tinggi diberikan ketika penggambaran filem ini pada 2019,” katanya yang mengetengahkan bakat 11 pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD.

Mengulas penggambaran filem, Fadzil berkata, idea menghasilkan filem tercetus pada April 2018, penggambaran dimulakan tiga bulan kemudian membabitkan lokasi sekitar Pahang. Penggambaran filem arahan Areel Abu Bakar itu selesai pada Ogos 2019.

“Filem Anak Rimau The Movie menjalani penggambaran selama 60 hari di beberapa lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD.

“Selain cabaran dari segi cuaca panas terik dan hujan, kami terpaksa menggunakan khidmat feri untuk penggambaran di Pulau Tioman.

“Kami juga memiliki lokasi pantai di Beserah. Namun, penggambaran berdepan mencabar apabila perlu mengusung peralatan dalam Hutan Lipur Pandan, Kuantan ketika menjalani penggambaran di Air Terjun Panching.

“Kos membabitkan bajet besar disebabkan menggunakan khidmat lebih 2,000 pelakon tambahan termasuk remaja dan pelajar sekolah, terutama untuk babak dalam stadium.

“Lebih menarik, filem ini tidak menggunakan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.

Ditanya sasaran filem, Fadzil berharap filem Anak Rimau The Movie boleh menjadi inspirasi kepada golongan anak muda yang mempunyai cita-cita bergelar pemain bola sepak.

“Selain itu, kami juga mengharapkan naskhah ini juga mampu meningkatkan semangat patriotik di kalangan generasi muda, bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Ke-65, selain membantu pembangunan sukan bola sepak tanah air.

“Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini,” katanya.

Anak Rimau Music Video: https://youtu.be/H8tQyrq_u5w

Selain itu, lagu tema berjudul Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik oleh Amylea Azizan turut dinyanyikan barisan pelakon seperti Idan, Kechikimi, Hanz Daniel, Wan Omar Daanyal, Joel Law dan Hakeem. Video muziknya sudah dilancarkan menerusi laman YouTube sejak 7 Julai lalu.

Anak Rimau Trailer: https://youtu.be/7ZkIkJci69U

Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

1 comment:

  1. Thanks for sharing this informative information with us. This is a fantastic website, thanks for sharing. Aave | Netvrk | Aave Coin | Netvrk Crypto

    ReplyDelete

What do you think of my blog???